Pengundi Muda Teruja Tunai Tanggungjawab Buat Kali Pertama Pada PRN Negeri Sembilan
LINGGI: Pengalaman pertama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi mencetuskan keterujaan khususnya dalam kalangan anak muda yang kali pertama mengundi seawal usia 18 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana, hari ini.
Menurut Nurhazatul Adha Abdullah, peluang mengundi buat kali pertama disifatkan sebagai satu pengalaman bermakna yang membolehkan golongan muda turut memainkan peranan dalam menentukan masa depan negeri.
Nurhazatul berkata penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun memberi ruang kepada lebih ramai anak muda menyuarakan pilihan mereka.
“Saya rasa beruntung sebab dulu umur 21 tahun baru boleh mengundi, sekarang umur 18 tahun dah boleh. Rasa gembira dan teruja sebab dapat mengundi,” katanya.
Sementara itu, dua beradik, Muhd Najmi Rosdi, 18, dan Muhd Naqib Rosdi, 20, turut berkongsi pengalaman pertama mereka sebagai pengundi di pusat mengundi berkenaan.
Muhd Najmi berkata, pilihan dibuat selepas mengikuti perkembangan semasa dan menilai isu-isu yang diketengahkan sepanjang tempoh kempen.
“Memang ada fikir nak undi siapa sebab kita dah tengok berita semasa.
“Saya rasa gembira kerana undi saya dapat menyumbang kepada masa depan Negeri Sembilan,” katanya.
Muhd Naqib pula menyifatkan penglibatan golongan muda dalam proses demokrasi sebagai sesuatu yang penting selepas had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
“Apabila umur mengundi diturunkan, ramai anak muda lebih teruja untuk keluar mengundi.
“Saya rasa undi golongan muda memang penting,” katanya.
Dalam pada itu, Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Faizal Ramli dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Zamri Md. Said.
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16, seramai 20,677 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab di DUN N.32 Linggi termasuk 852 pengundi muda yang menjadi sebahagian daripada suara baharu dalam proses demokrasi negeri ini.



