BeritaMenarik

NGO perlu didik masyarakat tentang tanggungjawab sosial: VEERAPAN

REPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, Veerapan Superamaniam telah menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Hujung Tahun 2024 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Chu Tzhi Malaysia Cawangan Tampin.

Veerapan berkata, Pertubuhan Chu Tzhi Malaysia merupakan sebuah organisasi kebajikan yang terkenal dengan usaha-usaha murni dalam membantu golongan yang memerlukan serta mempromosikan kesedaran alam sekitar.

“Pertubuhan ini telah lama berkhidmat dalam masyarakat, menjalankan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Cawangan Tampin, khususnya, telah aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Syabas dan tahniah kepada pertubuhan ini atas usaha membimbing dan mendidik masyarakat tentang kepentingan alam sekitar serta sumbangan kepada golongan yang memerlukan,” ujar Veerapan.

Veerapan juga menekankan betapa pentingnya peranan pertubuhan seperti Chu Tzhi dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat.

“Saya ingin memuji komitmen pertubuhan ini dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan berkesan.

“Sebagai tanda sokongan, saya turut menyumbang sumbangan kewangan RM3,000 kepada pihak pertubuhan untuk menjalankan aktiviti tahunan seperti yang dirancang demi kemaslahatan masyarakat setempat.

“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu pertubuhan dalam melaksanakan program-program yang bermanfaat dan berkesan,” kata Veerapan yang juga Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.

Dalam pada itu, majlis ini dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat yang turut serta dalam menyokong usaha murni pertubuhan Chu Tzhi.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan, ceramah kesedaran alam sekitar, dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan lain.

Pertubuhan Chu Tzhi berharap agar usaha-usaha ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat dan memupuk semangat kerjasama serta perpaduan.

Show More

Related Articles

Back to top button