Berita

NGO Seru Rakyat Tolak Politik 3R, Pertahan Institusi Raja Negeri Sembilan

SEREMBAN: Pertubuhan Seni Silat Burung Rajawali Puteh Negeri Sembilan menyeru rakyat supaya menolak politik berasaskan sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang dilihat semakin kerap dimainkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presidennya, Dr Mohd Ridzuan Ismail berkata, penggunaan isu-isu sensitif sebagai bahan kempen politik bukan sahaja tidak sihat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi diraja dan adat yang sekian lama menjadi asas kestabilan Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Flash Mob Tunjuk Sokongan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, di sini hari ini.

Menurut beliau, perhimpunan tersebut diadakan sebagai tanda sokongan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selain menzahirkan pendirian rakyat yang mahu melihat institusi diraja terus dihormati serta dipelihara daripada sebarang polemik politik.

“Kita berhimpun hari ini bukan kerana kepentingan mana-mana parti politik, tetapi demi mempertahankan institusi raja, adat Negeri Sembilan, agama Islam dan perpaduan rakyat.

“Dalam suasana kempen pilihan raya ketika ini, kita melihat ada pihak yang menggunakan sentimen 3R sebagai medium serangan politik. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dr Mohd Ridzuan berkata, rakyat perlu menilai parti dan calon berdasarkan rekod perkhidmatan, dasar serta manifesto yang dibawa, bukannya terpengaruh dengan naratif yang menimbulkan kebencian atau ketakutan.

Katanya, semua pihak seharusnya menghormati institusi diraja serta mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat atau menjejaskan keharmonian negeri.

“Gunalah ruang kempen untuk membentangkan perancangan dan tawaran kepada rakyat. Jangan jadikan isu kaum, agama dan institusi diraja sebagai alat untuk meraih simpati atau sokongan politik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perkara berkaitan adat dan institusi diraja mempunyai saluran serta mekanisme tersendiri untuk ditangani oleh pihak yang bertanggungjawab.

Menurutnya, rakyat perlu memberi kepercayaan kepada pihak berautoriti untuk menguruskan perkara tersebut dan tidak menjadikannya sebagai bahan polemik politik.

“Kita sebagai rakyat perlu menghormati proses yang sedia ada dan mendoakan agar segala urusan yang melibatkan adat serta institusi diraja dapat diselesaikan dengan baik.

“Tidak wajar mana-mana pihak menjadikan perkara ini sebagai batu loncatan untuk mencapai kepentingan politik tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran peserta dari pelbagai kawasan termasuk Kuala Pilah, Rantau, Ampangan, Sendayan dan Jelebu pada program tersebut menunjukkan masih ramai rakyat yang prihatin terhadap usaha mempertahankan institusi diraja serta keharmonian negeri.

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan perlu terus bersatu padu dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan atau sentimen yang boleh menjejaskan perpaduan yang telah lama terjalin.

“Kita mahu pilihan raya berlangsung dalam suasana yang matang, harmoni dan saling menghormati. Apa yang penting adalah masa depan negeri dan kesejahteraan rakyat, bukannya politik kebencian,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button