Keyakinan Pemimpin Setiap Parti Itu Biasa, Rakyat Yang Menentukan – Aminuddin

LINGGI: Keyakinan setiap pemimpin parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 adalah perkara biasa namun keputusan akhir tetap bergantung kepada pilihan pengundi.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, setiap pihak berhak menyatakan keyakinan masing-masing namun tidak seharusnya terlalu mendahului keputusan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias yang menyatakan keyakinan gabungan itu mampu memperoleh kemenangan selesa pada PRN kali ini.
“Kalau dia sebagai pengerusi, mesti dia rasa yakin. Kalau dia kata kalah, susah juga.
“Jadi saya rasa hari ini dia kena rasional. Kita jangan terlalu yakin.
“Ini ditentukan oleh rakyat. Rakyat akan menilai apa yang berlaku dan kenapa sesuatu perkara itu berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di Linggi, di sini.
Aminuddin berkata, rakyat mempunyai hak untuk membuat penilaian berdasarkan prestasi dan perjalanan sesebuah kerajaan sebelum menentukan pilihan mereka.
“Macam kita hantar laporan kepada ayah kita.
“Kalau dia tengok keputusan kita D, E, F, mesti dia marah.
“Tapi kalau kita hantar laporan A, B,saya rasa ayah kita akan beri penghargaan.
“Begitu juga rakyat, mereka tahu apa yang berlaku dan mereka akan membuat penilaian,” katanya.
Aminuddin berkata, Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan rakyat dan tidak mahu mendahului pilihan pengundi.
“Apa juga keputusan rakyat, kita terima kerana rakyat yang menentukan.
“Mereka boleh berubah pada malam sebelum mengundi, pagi hari mengundi atau ketika berada di pusat mengundi,” katanya.
Seramai 103 calon bertanding pada PRN Negeri Sembilan kali ini bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di kesemua 36 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.
Turut bertanding ialah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing meletakkan seorang calon, selain empat calon Bebas.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN (14 kerusi) dan PN (lima kerusi).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu, manakala hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 1 Ogos.


