Berita

Penarikan Darjah Kebesaran Hak Tuanku, Jangan Dipolitikkan – Aminuddin

LINGGI: Penarikan balik Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S.) terhadap Tan Sri Dr. Mohd Rais Yatim merupakan hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tidak seharusnya dipolitikkan.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, keputusan berkaitan penganugerahan atau penarikan balik darjah kebesaran adalah hak mutlak institusi diraja.

“Itu hak Tuanku.

“Tuanku berhak memberikan ataupun menarik balik anugerah yang telah dikurniakan.

“Itu terpulang kepada Tuanku dan saya harap perkara ini tidak dikaitkan dengan politik,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Mulyo, di sini.

Menurut Aminuddin, rakyat juga memahami bahawa darjah kebesaran tidak mempunyai kaitan dengan persaingan politik.

“Saya tahu rakyat memahami kenapa perkara itu berlaku dan saya harap semua pihak menghormati keputusan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S.) kepada Tan Sri Dr. Mohd Rais Yatim berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Pejabat Pendaftar Darjah Negeri Sembilan, keputusan tersebut dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.

Kenyataan yang ditandatangani Pendaftar Darjah Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim itu bertarikh 30 Julai 2026.

Untuk rekod, Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) dikurniakan kepada Mohd Rais pada tahun 2001, manakala Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S.) diterimanya pada tahun 1979.

Show More

Related Articles

Back to top button