Berita

NSFC menentang Terengganu wajar berlangsung pada waktu malam: AMINUDDIN

SEREMBAN:Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, menegaskan bahawa perlawanan antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Terengganu FC pada 22 November ini seharusnya dijadualkan pada waktu malam, bukan petang seperti yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Aminuddin yang juga Pengerusi NSFC berkata, waktu sepak mula jam 5 petang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kurang sesuai kerana kebanyakan penyokong masih berada di tempat kerja ketika itu.

Katanya, keputusan itu boleh menjejaskan sambutan penyokong yang menjadi nadi kekuatan pasukan tuan rumah.

“Negeri Sembilan bukan pasukan yang sesuai bermain waktu siang. Kalau perlawanan dibuat 5 petang, ramai penyokong tidak sempat hadir.

“Sebagai tuan rumah, kita patut diberi ruang menentukan waktu sesuai hatta jam 10 malam sekali pun asalkan penyokong dapat datang memberi semangat,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Aminuddin menambah, kehadiran penyokong di Paroi kekal tinggi sepanjang musim ini dan menjadi antara faktor utama peningkatan prestasi skuad bimbingan Mohd Nidzam Jamil, yang kini berada di tangga keenam Liga Super dengan 12 mata.

Beliau berharap MFL dapat menilai semula jadual perlawanan tersebut demi memastikan suasana perlawanan yang lebih meriah serta memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.

Show More

Related Articles

Back to top button