Berita

NSFC TUNJUK TARING DENGAN TEWASKAN TIMUR LESTE 2-1

PAROI: Walaupun tiada aksi Liga Super minggu ini, semangat Sang Rusa tidak pernah padam. Negeri Sembilan FC (NSFC) memanfaatkan ruang dengan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 menentang pasukan kebangsaan Timor Leste sebagai langkah memperkukuh keserasian dan memastikan kecergasan pemain kekal di tahap terbaik menjelang saingan domestik.

Di hadapan sorakan lebih 2,000 penyokong setia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, skuad kendalian Nidzam Jamil menghadiahkan senyuman buat penyokong Hobin Jang Hobin apabila berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan lawan.

Dua jaringan daripada Luqman Hakim Shamsuddin pada separuh masa pertama menjadi detik paling menceriakan malam itu bukan sekadar untuk pasukan tetapi buat dirinya sendiri yang semakin menunjukkan keyakinan dan kematangan di atas padang.

Kemenangan ini membawa makna tersendiri buat Luqman yang kini semakin menyerlah dalam jersi Negeri Sembilan FC. Ia menjadi pemangkin semangat untuk terus memburu jaringan dan mengukuhkan tempatnya sebagai antara tonggak utama pasukan musim ini.

Bagi pasukan Timor Leste, perlawanan ini turut menjadi medan penting bagi menilai kekuatan mereka menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Tajikistan pada 18 November ini.

Sementara itu, selepas mencatat keputusan seri menentang DPMM FC minggu lalu, Sang Rusa kini berada di tangga keenam Liga Super dengan kutipan 12 mata hanya di belakang Selangor FC.

Lebih daripada sekadar kemenangan, malam di Paroi itu memperlihatkan semangat kebersamaan antara pemain dan penyokong. Ia menjadi cerminan bahawa perjuangan NSFC bukan hanya di atas padang tetapi juga dalam hati setiap yang menyokong warna kuning hitam dengan penuh bangga.

Show More

Related Articles

Back to top button