792 unit Rumah Mampu Milik di Nilai, bantu lebih ramai keluarga miliki kediaman

NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan terus memperkukuhkan agenda perumahan rakyat menerusi pembangunan projek Rumah Mampu Milik Taman Nusa Seri Cenggal di Mantin yang menawarkan sebanyak 792 unit rumah teres kepada penduduk negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, projek yang dibangunkan di atas tanah kerajaan seluas 50 ekar itu merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan lebih ramai keluarga berpeluang memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan pendapatan masing-masing.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan pelbagai kategori harga rumah bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kerajaan Negeri Sembilan memberikan keutamaan untuk mewujudkan lebih banyak projek perumahan Rumah Mampu Milik melibatkan beberapa jenis harga rumah supaya setiap keluarga mempunyai peluang untuk memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan pendapatan mereka,” katanya.
Projek Taman Nusa Seri Cenggal secara keseluruhannya merangkumi 792 unit rumah teres yang terdiri daripada 159 unit Rumah Mampu Milik Type A berharga RM110,000, 119 unit rumah berharga RM250,000 serta 514 unit rumah dengan harga maksimum RM359,000.
Arul Kumar berkata, pelaksanaan projek tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada golongan yang masih belum memiliki kediaman sendiri, khususnya di kawasan daerah Seremban.
“Dengan pelaksanaan projek perumahan ini di atas tanah kerajaan seluas 50 ekar, lebih ramai keluarga yang belum memiliki rumah dapat memperoleh kediaman yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Inilah hasrat dan cara Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan untuk mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik, terutamanya di kawasan daerah Seremban,” katanya.




