SEREMBAN: Pelajar Institut Pengajian Tinggi dari Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, akan menerima insentif daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM1,500 bermula tahun 2025.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, bermula tahun 2019 sehingga tahun 2024, anak-anak Negeri Sembilan dengan pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah yang melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah boleh memohon Bantuan Khas Kemasukan ke IPTA dengan jumlah Sijil: RM 500, Diploma: RM750 dan Ijazah: RM1,000.
“Berdasarkan rekod sehingga November 2024, seramai 2,882 orang pelajar (Sijil 362 orang, Diploma 1,102 orang dan Ijazah 1,412 orang) telah menerima insentif ini.
“Begitu juga Bantuan Sara Hidup bagi mahasiswa anak Negeri Sembilan dari keluarga berpendapatan isi rumah bawah RM5,000 dengan jumlah RM150 sebulan (RM1,800 setahun).
“Setakat Disember 2024, seramai 2,537 penerima bantuan ini dari kalangan pelajar diploma dan ijazah di IPTA.
Justeru itu, Aminuddin berkata, bermula tahun 2025, insentif ini tetap diteruskan kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakan.
“Mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan semasa, dengan ini sukacita saya umumkan tambahan RM500 bagi Bantuan Khas Kemasukan ke IPTA (One-off) bagi kategori Ijazah Pengkhususan Bidang STEM (Sciences, Technology, Engineering, Mathematics).
“Jumlah baharu bagi kategori tersebut adalah RM1,500.
“Pertambahan nilai ini adalah bagi menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang STEM di peringkat Ijazah.
“Insentif ini adalah di bawah Pejabat Menteri Besar dan permohonan boleh dibuat melalui aplikasi N9 Digital mulai tahun 2025,” jelas Aminuddin.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengumumkan tambahan RM50 sebulan bagi Bantuan Sara Hidup bagi mahasiswa dari keluarga B40.
“Jumlah terbaru bagi insentif ini adalah RM200 sebulan (RM2,400 setahun).
“Insentif ini dikendalikan di bawah Yayasan Negeri Sembilan dan akan bermula pada tahun 2025.
“Permohonan boleh dibuat di laman sesawang https://www.yns.gov.my.,” kata Aminuddin.