Berita

Pemain La Liga, Facundo Garcés kini dalam skuad kebangsaan

PETALING JAYA: Pasukan Kebangsaan Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan bahawa pemain pertahanan tengah, Facundo Garcés, kini secara rasmi menyertai skuad senior Harimau Malaya.

Pemain berusia 25 tahun ini membawa kualiti, pengalaman dan kepimpinan yang tinggi kepada pasukan ketika Malaysia terus memperkukuh skuad bagi menjadi pasukan impian seluruh rakyat Malaysia.

Garcés, yang pernah beraksi dalam liga utama di Argentina dan baru sahaja menamatkan musim bersama Deportivo Alavés dalam La Liga (Sepanyol), telah melengkapkan semua keperluan pendaftaran dan kelayakan, dan kini sedia untuk dipilih oleh ketua jurulatih Peter Clamovski.

“Facundo mempunyai perwatakan yang kuat.

“Seorang pertahanan yang tenang dengan personaliti yang hebat serta pengalaman di peringkat tertinggi.

“Dia sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan berbangga dalam mengharumkan nama negaranya,” kata Clamovski.

Garcés turut meluahkan keterujaannya untuk mewakili Malaysia.

“Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa.

“Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan, dan sokongan yang ikhlas dari semua.

“Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya bila seluruh negara dan penyokongnya berdiri teguh bersama kami.

“Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia,” ujar Garcés.

Facundo Garcés kini telah menyertai kem latihan skuad kebangsaan sempena jendela FIFA dan akan layak untuk dipilih bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia AFC menentang Vietnam yang akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button