Pasukan futsal Malaysia memperoleh pengalaman berharga sepanjang tahun lalu dalam misi merekodkan pencapaian lebih baik pada 2025.
Untuk rekod, skuad kendalian Rakphol Sainetngam yang menghuni tangga ke-81 dunia itu telah mengharungi kejohanan NSDF Futsal Championship Thailand pada Mac 2024.
Pada kejohanan tersebut, Malaysia berdepan beberapa pasukan terkuat dunia seperti tuan rumah, Thailand yang menghuni tangga ke-11 dunia dan juga dua lagi pasukan – Afghanistan (30) dan Australia (49).
Malaysia turut melakar keputusan positif apabila mengikat Afghanistan dengan keputusan 3-3 selain memberikan saingan sengit kepada Australia dan Thailand.
Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 yang berlangsung pada November lalu menyaksikan Malaysia melakar dua kemenangan iaitu ketika berdepan Brunei dengan keputusan 11-0 selain menundukkan Timor Leste dengan keputusan 2-0.
Kekalahan kepada dua jagoan Asia Tenggara – Thailand dan Vietnam menyaksikan perjalanan skuad negara tamat pada peringkat kumpulan.
Begitupun, dua kejohanan tersebut tetap dianggap sebagai menjadi medan persiapan terbaik buat Malaysia bagi menghadapi cabaran 2025.
Ujian berikutnya buat anak-anak buah Rakhpol adalah bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2026 yang dijadualkan dari 13 hingga 26 Oktober 2025 di Indonesia dan Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
Sumber: Facebook Football Association of Malaysia (FAM)