PERABOT MADANI dan KALVI MADANI perkasa akses pendidikan berkualiti

JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan melalui pelancaran Inisiatif Perabot MADANI dan Program KALVI MADANI yang memberi manfaat kepada puluhan ribu murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh negara.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di SJKT Jalan Yahya Awal di sini .
Ramanan berkata, melalui Inisiatif Perabot MADANI, peruntukan sebanyak RM12.8 juta disalurkan kepada 361 buah SJKT bagi menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 40,000 murid serta lebih 5,000 guru di seluruh negara.
“Pada masa sama, Program KALVI MADANI dengan peruntukan RM8 juta akan memanfaatkan lebih 10,000 murid daripada keluarga B40 menerusi kelas tuisyen percuma, program kecemerlangan akademik serta sokongan pembelajaran yang komprehensif.
“Program ini memberi tumpuan kepada penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain menyediakan bantuan pembelajaran dan sokongan digital bagi meningkatkan prestasi murid secara menyeluruh.
“Pendidikan merupakan asas penting dalam membangunkan masyarakat yang berdaya saing, sekali gus memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperluas akses pendidikan berkualiti, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan membangunkan bakat masa depan negara secara inklusif,” jelas Ramanan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Dr. Mohd Shaharin Umar dan Ketua Pengarah MITRA, Raveendran Nair Kesavan Nair.




