Berita

Yew turun padang ziarah individu kurang bernasib baik

CHUAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Dato’ Yew Boon Lye turun padang bagi menziarahi beberapa penduduk yang berdepan masalah kesihatan dan terlibat dalam kemalangan di sekitar kawasan DUN Chuah, selain menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada mereka yang memerlukan.

Yew berkata, ziarah tersebut dilakukan di Rumah Rakyat Kampung Sawah dengan menyantuni En Raja, Puan Parvathy dan Puan Zainab Taslam, di samping menyerahkan sumbangan kerusi roda sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap keperluan mereka.

“Dalam pada itu, siri ziarah diteruskan di Ladang Tanah Merah apabila menziarahi Puan Parameswari yang menghidap penyakit Parkinson, selain menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada En Periasamany Ghandi yang mengalami strok.

“Saya juga turut menziarahi En Jasni di Kampung Jawa yang baru sahaja terlibat dalam kemalangan, serta Adik Nur Aliya Damia yang menghidap penyakit jantung dan moyamoya, iaitu penyempitan arteri karotid di dasar otak.

“Dalam lawatan sama, saya turut menyampaikan bantuan kerusi roda kepada Puan Elice Sellaperumal di Kampung Cina Bukit Pelandok.

“Setiap sesi ziarah yang dilakukan, bukan sahaja bertanya khabar dan menyelami permasalahan dihadapi, malah memastikan bantuan yang disampaikan benar-benar dapat meringankan beban keluarga terlibat,” kata Yew.

Beliau turut diiringi oleh Encik Muhammad Mat Nor selaku Pengerusi JPKK Kampung Sawah, Encik Selvan Muniandy, Pengerusi JPKK Kampung India serta Encik Teng Mee Chong, Pengerusi JPKK Kampung Bukit Pelandok, yang bersama-sama menunjukkan komitmen kepimpinan setempat dalam menjaga kebajikan penduduk.

Pusat Khidmat ADUN Chuah mendoakan agar semua individu yang diziarahi diberikan kesembuhan segera, dipermudahkan segala urusan serta terus tabah dan bersabar dalam menghadapi ujian kehidupan.

Show More

Related Articles

Back to top button