Berita

Perpatih Fest 2025 di Muzium Negeri Sembilan, 10 hingga 12 Oktober

SEREMBAN: Program Perpatih Fest 2025 telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun yang akan berlangsung bermula 10 hingga 12 Oktober 2025.

Aminuddin berkata, penganjuran Perpatih Fest bertujuan untuk memelihara dan mempromosikan Warisan Adat Perpatih.

“Ini amat penting supaya dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya generasi muda akan kepentingannya sebagai warisan budaya yang perlu dipertahankan.

“Melalui usaha murni ini masyarakat tanpa mengira peringkat dapat memahami dengan lebih jelas lagi tentang keunikan Adat Perpatih melalui pelbagai bentuk iaitu keilmuan dengan melihat, mendengar, merasa, bicara, demonstrasi dan sebagainya.

“Tema pada tahun ini ialah ‘Adat Dihayati, Warisan Dilestari’.

“Ia bermaksud menghayati dan mengamalkan adat serta memelihara warisan budaya agar terus kekal dan relevan sepanjang zaman yang menyeru masyarakat agar tidak melupakan akar budaya dan memastikan tradisi yang bernilai tinggi terus diwarisi dan dijaga,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, antara program dan aktiviti yang disajikan kepada para pengunjung dalam Perpatih Fest pada kali ini ialah Reruai Luak Beradat di Negeri Sembilan, Demonstrasi dan Jualan Masakan Luak, Kraftangan Masyarakat Cina dan India, Karnival Kebudayaan Orang Asli, Karnival Masakan Rentas Negeri, Demonstrasi dan Pertandingan Permainan Tradisional dengan Kerjasama PUSPANITA dan Bakriyah, Persembahan Kesenian dan Kebudayaan (Malam Gala Perpatih), Wacana Senjata Warisan Alam Melayu, Perpatih Tech Summit 25 dan tidak lupa aktiviti cabutan bertuah.

Seperti tahun-tahun yang lalu, turut diadakan penyampaian Sijil Malaysia Book Of Record iaitu ‘Menelusuri 25 Tahun Program Adat Perpatih Oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan’, Peluncuran Batik Bunga Lado dan Pra Pelancaran Pesta Ngoca.

Program Adat Perpatih yang dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah bermula sejak daripada tahun 2000 lagi dan pada tahun ini telah memasuki 25 tahun penganjurannya.

Manakala Bunga Lado telah diiktiraf sebagai bunga rasmi Kerajaan Negeri Sembilan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan antara sembilan identiti utama negeri ini.

Menurut Aminuddin, Karnival Masakan Rentas Negeri dan Reruai Antarabangsa adalah merupakan tambah nilai kepada Perpatih pada tahun 2025.

Karnival Masakan Rentas Negeri disertai oleh Perbadanan Muzium Melaka, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu manakala reruai antarabangsa disertai oleh Provinsi Sumatera Barat dan Provinsi Riau.

“Selain itu, satu lagi pengisian baru yang diketengahkan pada tahun ini ialah Program Google Submit Text bersempena dengan Perpatih Fest 2025 anjuran Pejabat Exco Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

“Tujuan utama program ini diadakan ialah untuk mengetengahkan teknologi digital di samping mempromosikan budaya warisan dalam bentuk teknologi moden.

“Salah satunya adalah eksplorasi adat dan budaya Negeri Sembilan dalam bentuk teknologi digital.

“Peserta yang menyertai program ini adalah pelajar sekolah menengah yang mempunyai Kelab Adat Perpatih,” jelas Aminuddin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button