BeritaMenarik

Persatuan sukan diminta proaktif mohon tajaan swasta

SEREMBAN: Penajaan daripada syarikat swasta memainkan peranan penting dalam memajukan kredibiliti sukan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye mengesa Majlis Sukan Negeri, Negeri Sembilan memainkan peranan dalam hal ini dengan memperkemaskan ‘sukan angkat’ kepada syarikat-syarikat berkaitan seperti model sukan Persatuan Bola Keranjang Negeri Sembilan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor berkata, dalam usaha mendapatkan tajaan oleh syarikat-syarikat angkat ini, bukan sahaja Majlis Sukan Negeri yang memainkan peranan tetapi Persatuan Sukan Negeri perlu proaktif dalam merancang program pembangunan sukan yang mampan bagi menarik lebih banyak syarikat untuk menyumbangkan dana kepada persatuan.

“Kerajaan Negeri Sembilan melalui Majlis Sukan Negeri telah mendapatkan kelulusan bagi persatuan sukan negeri atau kelab sukan yang berdaftar di seluruh Negeri Sembilan untuk mengutip sumbangan dari penaja mengikut peraturan dan prosedur yang telah termaktub bagi tujuan pengecualian cukai.

“Persatuan sukan seharusnya memulakan langkah dengan mengemukakan surat permohonan beserta kertas kerja lengkap menggunakan Tabung Sukan Negeri bagi tujuan penyaluran dana untuk mendapatkan pengecualian cukai terhadap sumbangan (wang tunai sahaja).

“Dana yang diterima melalui akaun Terimaan Kerajaan Negeri Sembilan dan akan melalui proses-proses tertentu sebelum dikembalikan kepada persatuan untuk mereka melaksanakan aktiviti,” ujar Mustapha.

Mustapha menjelaskan, melalui kemudahan yang telah dibenarkan ini, seharusnya Persatuan Sukan Negeri mengambil peluang untuk mendapatkan lebih banyak dana tajaan dari syarikat-syarikat bagi memastikan perancangan aktiviti tahunan khasnya melibatkan pembangunan sukan dapat dilaksanakan.

“Penajaan atau sumbangan syarikat ini dikategorikan sebagai tanggungjawab sosial korporat atau dikenali sebagai Corporate Social Responsibility (CSR).

“Antara faedah yang diperolehi adalah pengecualian cukai ke atas dana ataupun penyaluran sumbangan yang dikeluarkan kepada Persatuan Sukan Negeri/Kelab Sukan yang akan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri.

“Penggunaan logo ditempat yang difikirkan sesuai yang akan dibincangkan bersama, antaranya pada jersi perlawanan, banner, bunting, backdrop dan sesuatu program/aktiviti penganjuran sukan itu dianjurkan,” jelas Mustapha lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button