BeritaMenarikProgram

Peruntukan RM312 juta bagi Pelan Ruminan Felda

SEREMBAN: Sebanyak RM312 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Pelan Ruminan FELDA (PRF) selama 10 tahun yang telah dirancang sejak tahun 2022.

Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, PRF ini akan melihat potensi tapak projek khas ternakan sedia ada di Felda dan kawasan pengembangan yang sesuai di kawasan Felda dengan menggunapakai model bisnes yang baharu.

“Ekosistem yang terlibat di dalam PRF adalah Pembangunan Ladang Nukleus, Ladang Satelit, Ladang Pastura, Pusat Fidlot dan Pusat Abattoir.

“Ladang Nukleus akan memfokuskan kepada aktiviti pembiak bakaan dan ia akan dikembangkan melalui pembangunan ladang satelit di beberapa kawasan yang sedang dikenalpasti di tanah Felda/tanah Peneroka dan luar mengikut kesesuai topografi kawasan,” kata beliau.

Jalaluddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Sungai Lui, YB Mohd Razi Mohd Ali di Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Ke-15 pada Selasa.

Jalaluddin berkata, bagi pembangunan PRF di Negeri Sembilan, terdapat beberapa projek bernilai tinggi yang sedang di dalam perancangan.

“Projek Khas GMN FELDA Titi akan dibangunkan sebagai ladang nukleus khusus untuk bebiri baka dorper.

“Manakala Projek Khas Kampung Londah akan dibangunkan sebagai pusat fidlot lembu dan terdapat juga pembangunan semua ladang fodder di Projek Napier Raja Alias 5.

“Felda kini dalam proses penyediaan kertas kerja yang komprehensif untuk kelulusan Lembaga Felda dan seterusnya kelulusan penggunaan dana Kerajaan di bawah Program Pembangunan Peneroka (PPP),” ujar Jalaluddin.

Show More

Related Articles

Back to top button