Presiden PHNS Ucap Tahniah, Skuad Hoki Wanita Negeri Sembilan Bakal Terima Insentif

Seremban: Skuad hoki wanita Negeri Sembilan bakal menerima insentif menarik daripada Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) selepas pasukan itu dinobatkan selaku juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) MHL-TNB 2026.
Menurut Menteri Besar merangkap Presiden PHNS, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, prestasi yang dipamerkan skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahman ketika menewaskan Terengganu 6-0 dalam perlawanan terakhir liga semalam jelas menonjolkan kecemerlangan yang ketara, sekali gus menobatkan mereka sebagai juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) musim ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada pasukan hoki wanita Negeri Sembilan kerana memenangi satu lagi trofi iaitu juara liga selepas sebelum ini mereka memenangi Piala Sumbangsih” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin bagaimanapun belum mengumumkan secara terperinci bentuk atau jumlah insentif yang bakal diterima pasukan itu, namun menjelaskan bahawa perkara itu akan dimuktamadkan sebaik pasukan hoki wanita Negeri Sembilan berjaya mendapatkan kesemua trofi yang dipertandingkan musim ini.


