
SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) kini berada dalam landasan membina sebuah kelab yang lebih mampan, profesional dan kompetitif menerusi pengukuhan aspek komersial serta pembangunan prestasi pemain.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata, kerjasama penajaan bersama Energy Fuel bukan sekadar hubungan komersial, sebaliknya mencerminkan keyakinan terhadap visi dan hala tuju masa depan kelab itu.
“Penajaan pada era bola sepak moden tidak lagi hanya tertumpu kepada paparan logo jenama semata-mata, tetapi turut melibatkan kepercayaan terhadap pembangunan sesebuah kelab.
“Bagi kami di NSFC, penajaan bukan sekadar soal logo atau jenama di papan LED, tetapi soal kepercayaan terhadap visi, perjalanan dan masa depan yang sedang kami cuba bina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara NSFC dan Energy Fuel.
Menurutnya, tuntutan bola sepak moden memerlukan tahap disiplin, intensiti dan prestasi tinggi, sekali gus menjadikan aspek sains sukan, pemakanan serta pemulihan pemain semakin kritikal.
“Kerjasama berkenaan bukan sahaja membantu dari sudut komersial, malah memainkan peranan penting dalam memastikan pemain NSFC memperoleh sokongan prestasi terbaik sepanjang musim.
“Kami percaya Energy Fuel berkongsi nilai sama dengan NSFC iaitu ketahanan, konsistensi dan semangat untuk terus bergerak ke hadapan walaupun berdepan cabaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama tajaan selama tiga tahun itu dapat berkembang menjadi hubungan strategik jangka panjang yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“NSFC sedang berada dalam satu perjalanan membina kelab yang lebih mampan, profesional dan kompetitif, bukan sahaja di atas padang tetapi juga dari sudut pengurusan dan nilai komersial,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun selaku Pengerusi NSFC atas sokongan berterusan dalam memperkukuh kedudukan komersial kelab.


