Berita

Kerajaan Negeri Lulus Projek PPR Baharu di Jempol dan Port Dickson, Sasar Bantu Golongan B40 Miliki Rumah

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN:Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan dua projek Program Residensi Rakyat (PRR) membabitkan pembinaan 200 unit rumah di Jempol dan Port Dickson bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri menerusi skim sewa beli.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, berkata kelulusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri yang berlangsung di sini, hari ini.

“rojek pertama melibatkan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Dato’ Johan, Jempol di atas tanah seluas 18.5 ekar yang diserahkan kepada Majlis Perbandaran Jempol.

“Mesyuarat hari ini telah meluluskan tanah seluas 18.5 ekar di PPR Jempol, Kampung Dato’ Johan bagi pembinaan 100 unit rumah teres PPR dengan jumlah peruntukan diterima sebanyak RM27.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, satu lagi projek PPR turut diluluskan di Kampung Linggi, Port Dickson membabitkan tanah seluas 15 ekar bagi pembinaan 100 unit rumah teres dengan kos keseluruhan RM30 juta.

“Bagi PPR Kampung Linggi, tanah seluas 15 ekar telah diluluskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) untuk membina 100 unit rumah teres,” tambahnya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, satu lagi projek PPR di Bandar Baru Nilai kini dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan pada tahun 2027.

Projek di Nilai itu melibatkan pembangunan 400 unit apartmen di atas tanah seluas 10 ekar dengan anggaran kos RM120 juta.

“Tanah bagi projek PPR Nilai telah pun diserahkan dan kini kita serahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyegerakan pembinaan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, projek PPR berkenaan disasarkan kepada keluarga berpendapatan rendah yang masih belum memiliki rumah sendiri menerusi skim sewa beli.

“Nilai sesebuah unit rumah dianggarkan sekitar RM300,000 namun disubsidi kerajaan sebanyak RM240,000. Pembeli hanya perlu membayar kira-kira RM60,000 bagi memiliki rumah tersebut,” katanya.

Aminuddin berharap segala urusan berkaitan projek berkenaan dapat dipercepatkan memandangkan Kerajaan Negeri telah menyelesaikan isu berkaitan tanah bagi membolehkan pembinaan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Show More

Related Articles

Back to top button