Berita

Aminuddin Yakin NSFC Mampu Bangkit, Jadikan Musim Sukar Sebagai Pengajaran

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun yakin Negeri Sembilan FC (NSFC) mampu bangkit dan tampil lebih baik pada musim hadapan dengan menjadikan pelbagai cabaran yang dihadapi musim ini sebagai pengalaman berharga.

Beliau yang juga Pengerusi NSFC berkata, meskipun pasukan berdepan pelbagai masalah sepanjang saingan musim ini, setiap cabaran berjaya ditangani dan perlu dijadikan pengajaran bagi memperkukuh prestasi skuad Jang.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang masih yakin bahawa NSFC boleh terus berkembang pada musim akan datang.

“Dalam kita mengharungi tempoh musim ini, kita berhadapan dengan banyak masalah dan Alhamdulillah setiap masalah itu ada jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri selepas menyaksikan majlis kerjasama rasmi antara NSFC dan jenama nutrisi tempatan, NE-6, sebagai Rakan Gel Tenaga Rasmi kelab di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, segala cabaran yang ditempuhi musim ini memberi pengalaman penting kepada pengurusan dan pasukan bagi melakukan penambahbaikan menjelang musim baharu.

“Pengalaman itu merupakan satu pelajaran yang boleh kita tambah baik dan memperbaiki prestasi kita pada musim akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyeru penyokong setia NSFC untuk terus memberikan sokongan moral kepada pasukan menjelang aksi terakhir musim ini menentang Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.

“Saya tahu penyokong masih sayang kepada pasukan Negeri Sembilan. Saya menyeru mereka untuk terus memberikan sokongan dan hadir ke stadium bagi memberi semangat kepada pasukan.

“Sokongan yang diberikan penyokong sepanjang musim ini kekal memberangsangkan walaupun pasukan berdepan turun naik prestasi.

“Pada awal musim kita lihat sokongan amat membanggakan dan di penghujung musim ini, sokongan kepada NSFC masih baik jika dibandingkan dengan pasukan lain,” tambahnya.

Sementara itu, NSFC hari ini mengukuhkan aspek prestasi sains sukan menerusi kerjasama rasmi bersama jenama nutrisi tempatan, NE-6, yang diumumkan sebagai Rakan Gel Tenaga Rasmi kelab bagi membantu meningkatkan tahap kecergasan serta prestasi pemain.

Show More

Related Articles

Back to top button