PRN NS: Aminuddin Selesai Mengundi Di Sikamat
SIKAMAT: Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menjadi antara individu terawal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 apabila hadir di pusat mengundi Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Sikamat sebaik proses pengundian bermula pagi ini.
Aminuddin tiba kira-kira pukul 8.33 pagi sebelum memasuki pusat mengundi bagi membuang undi.
Menurutnya, keyakinannya terhadap prestasi PH pada PRN kali ini, gabungan itu diyakini mampu melepasi sasaran 19 kerusi berdasarkan penilaian terhadap gerak kerja kempen sehingga saat akhir.
“Saya yakin sehingga saat akhir malam tadi saya semak semua kawasan yang kita bertanding mempunyai potensi yang baik.
“Saya rasa jentera tidak rasa terkesan walaupun macam-macam spekulasi yang berlaku sejak akhir kempen ini.
“Itu biasalah, analisis yang dibuat hanya di atas meja dan tidak turun ke bawah.
“Saya masih yakin kita mampu melepasi 19 kerusi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di sini.
Suasana di pusat pengundian berkenaan berlangsung tenang dan teratur dengan pengundi hadir secara berperingkat bagi menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Aminuddin yang merupakan penyandang DUN Sikamat selama empat penggal kini beralih bertanding di DUN Linggi manakala kerusi Sikamat ditandingi calon PH, Nor Azman Mohammad.
Di DUN Sikamat, Nor Azman berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), masing-masing membuat penampilan sulung di kerusi berkenaan.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi DUN Sikamat yang disandangnya sejak 2015 dengan majoriti 2,662 undi selepas memperoleh 12,730 undi mengatasi calon PN serta dua calon Bebas.
Bagi penampilan sulungnya di DUN Linggi pada PRN kali ini, Aminuddin berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Faizal Ramli dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Zamri Md. Said.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos 2026 sebagai hari mengundi bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 selepas hari penamaan calon berlangsung pada 18 Julai 2026 yang menyaksikan pertandingan bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).



