Isu Elaun Imam, Aminuddin Bantu Selesaikan Bawa Perubahan Di Negeri Sembilan – Fahmi Fadzil

JERAM PADANG: Isu elaun imam, siak dan pasukan ahli jawatankuasa masjid yang sebelum ini dikatakan tertangguh berjaya diselesaikan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan pada tahun 2018.
Menurut Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakya (PKR) Dato’ Seri Fahmi Fadzil, isu itu antara contoh perubahan yang berlaku selepas Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menerajui pentadbiran Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar.
Dalam pada itu, tular satu video seorang individu yang berkongsi mengenai permohonan elaun untuk imam, siak dan pasukan ahli jawatankuasa yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan peruntukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Saya ada tonton satu video seorang pakcik ditanya bagaimana beliau berdepan dengan salah satu parti yang mentadbir sebelum ini.
“Pakcik itu hanya minta elaun untuk imam, siak dan pasukan ahli jawatankuasa tetapi mantan Menteri Besar pada waktu itu kata tak ada bajet.
“Pada tahun 2018, Pakatan Harapan pula mentadbir dan Aminuddin menjadi Menteri Besar.
“Terus isu itu selesai dan imam terus dapat peruntukan elaun,” katanya ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PH di Jeram Padang disini
Fahmi berkata, sepanjang tempoh lapan tahun pentadbiran Aminuddin, pelbagai perubahan dapat dilihat termasuk peningkatan hasil negeri, pelaburan, kutipan zakat serta pembangunan masjid.
“Kita dah tengok dalam tempoh lapan tahun sejak Datuk Seri Utama Aminuddin Harun mentadbir Negeri Sembilan, macam-macam kebaikan yang telah kita saksikan.
“Kita boleh melihat bagaimana hasil bertambah, pelaburan dan zakat meningkat.
“Bukan itu sahaja, jumlah masjid yang dibina paling banyak dalam pentadbiran Aminuddin berbanding pentadbiran-pentadbiran sebelum ini,” katanya.
Fahmi Fadzil turut menyeru pengundi supaya menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri sebelum membuat keputusan pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan ke-16.
Sebanyak 103 calon bertanding pada PRN Negeri Sembilan kali ini bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di kesemua 36 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.
Turut bertanding ialah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing meletakkan seorang calon, selain empat calon Bebas.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN (14 kerusi) dan PN (lima kerusi).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu, manakala hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 1 Ogos.



