Berita

Pemimpin Tidak Amanah Jejas Institusi Negara, RCI Tabung Haji Jadi Pengajaran – Fahmi Fadzil

JERAM PADANG: Kegagalan pemimpin menjaga amanah boleh memberi kesan besar terhadap institusi negara serta kepentingan rakyat terutama apabila melibatkan pengurusan wang dan aset yang diamanahkan kepada sesebuah institusi.

Menurut Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Fahmi Fadzil, rakyat perlu menilai rekod kepimpinan termasuk aspek integriti, kebersihan dan kecekapan sebelum membuat pilihan dalam menentukan kerajaan yang bakal mentadbir.

“Kenapa penting kita pilih pemimpin yang anti rasuah?

“Kenapa penting kita pilih pemimpin yang bersih, cekap, dan amanah?

“Tak perlu tengok jauh, tengok saja laporan RCI Tabung Haji yang dibentangkan baru-baru ini,” katanya ketika berucap pada Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PH) di Jeram Padang, disini.

Fahmi berkata, isu yang berlaku membabitkan beberapa institusi penting negara menjadi pengajaran bahawa pemimpin perlu dipilih daripada kalangan yang amanah dan bertanggungjawab.

Katanya, apabila pemimpin tidak amanah dan berlaku kecurangan, perkara itu boleh menjejaskan wang serta institusi yang menjadi tempat rakyat meletakkan kepercayaan.

“Bila pemimpin tidak amanah, bila berlaku kecurangan, duit yang disimpan pun menjadi masalah,” katanya.

Fahmi berkata, sebarang dakwaan berkaitan salah laku perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa memihak kepada mana-mana parti.

“Kita tidak menuding kepada mana-mana pemimpin, mana-mana calon tetapi apa yang kita lakukan selepas ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan penuh daripada kalangan PDRM, AMLA, Bank Negara dan SPRM,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata sekiranya mana-mana pihak didapati merosakkan institusi negara, menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa, tindakan perlu diambil mengikut undang-undang.

“Sekiranya terbukti mana-mana pihak telah menyalahgunakan kuasa, mengambil apa yang tidak patut maka hadapkanlah ke muka pengadilan,” katanya.

Fahmi turut menegaskan kepimpinan yang bersih dan amanah penting bagi memastikan institusi penting negara seperti Tabung Haji serta Felda dapat diurus dengan baik pada masa akan datang.

Terdahulu, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji melibatkan siasatan terhadap isu-isu berbangkit dalam Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 termasuk hasil penemuan beberapa firma audit dan perunding.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata sesi persidangan khas untuk membahaskan dapatan Laporan RCI mengenai TH akan diadakan pada 11 Ogos ini selepas perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan semalam mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk

Show More

Related Articles

Back to top button