Salah Guna Kuasa, Penyelewengan Yang Rugikan Rakyat Adalah ‘Sakau’- Anwar

JERAM PADANG: Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbuatan salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan sehingga mengakibatkan kerugian kepada institusi milik rakyat tidak boleh dipandang ringan, malah menyifatkannya sebagai perbuatan “sakau”.
Beliau berkata, walaupun istilah “sakau” tidak digunakan dalam perundangan atau mana-mana laporan rasmi, perbuatan melibatkan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, kegagalan mematuhi tatakelola serta audit sehingga menyebabkan kerugian kepada institusi awam membawa maksud yang sama.
Menurut beliau, rakyat perlu memahami bahawa isu sebenar bukanlah penggunaan sesuatu istilah, sebaliknya perbuatan yang menyebabkan wang dan aset milik rakyat disalahgunakan.
“Kata istilah sakau tak ada. Betul, istilah sakau tak ada. Salah guna kuasa, guna rasuah, penyelewengan, tak ikut aturan, tak ikut audit, itu ertinya apa? Sakau lah tu,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, di sini, hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada polemik yang timbul susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Tabung Haji, apabila beberapa pemimpin pembangkang mempersoalkan penggunaan istilah “sakau” kerana perkataan tersebut tidak dinyatakan secara khusus dalam laporan berkenaan.
Sebaliknya, laporan itu antara lain membangkitkan isu berkaitan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, pelanggaran prosedur serta keputusan pengurusan yang mengakibatkan kerugian kepada institusi tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan hari ini terpaksa menanggung beban kewangan yang besar bagi memulihkan beberapa institusi penting negara yang mengalami masalah kewangan akibat salah urus pentadbiran terdahulu.
Beliau mengambil contoh FELDA yang menanggung hutang kira-kira RM10 bilion ketika Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara.
“Mulai tahun 2023, saya kena bayar hampir RM1 bilion setahun, kira-kira RM980 juta setahun untuk hutang lama,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu bukan berpunca daripada peneroka FELDA yang selama ini bekerja keras membangunkan tanah rancangan, sebaliknya disebabkan kelemahan dalam pengurusan.
“Yang buat rugi ini bukan peneroka. Peneroka kerja. Pengurusan baik, ramai staf-staf dia baik,” katanya.
Bagi membantu kebajikan warga FELDA, beliau berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM450 juta bagi menyelesaikan isu rumah dan tanah yang telah berlarutan sejak sekian lama.
“Sebab itu saya luluskan RM450 juta untuk rumah. Berapa puluh tahun mereka duduk, tanah rumah tak selesai.
“Jadi tolong beritahu di mana-mana, kita dah bantu dan kita terus bantu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan beliau tidak mengambil sebarang gaji atau elaun sebagai Pengerusi FELDA kerana mahu membuktikan masih ada pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum.
“Saya tak ambil gaji dan elaun jaga FELDA. Saya nak tunjuk ada pemimpin Melayu yang boleh secara ikhlas jaga kepentingan Melayu, Cina, India dan rakyat lain,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya tidak terus terperangkap dengan politik perkauman yang disifatkan hanya akan memecahbelahkan masyarakat serta menjejaskan usaha membangunkan negara.



