Pengundi harap Aminuddin, Pakatan Harapan terus mentadbir Negeri Sembilan

SRI TANJUNG: Seorang pengundi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung berharap Pakatan Harapan (PH) dapat memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.
Mohd Shahir Alias, 43, berkata keyakinannya terhadap Pakatan Harapan didorong oleh beberapa inisiatif berbentuk bantuan dan insentif kewangan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
Menurut beliau, isu berkaitan janji yang tidak ditunaikan tidak timbul kerana keluarganya sendiri pernah menerima manfaat daripada program kerajaan negeri.
“Awal tahun ini anak saya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi dan menerima insentif sebanyak RM1,000.
“Saya sudah melihat manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan dan kali ini bantuan melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi dinaikkan kepada RM1,200.
“Malah bantuan ini juga akan diperluaskan kepada golongan M40 yang berpendapatan maksimum RM8,000,” katanya.
Beliau berkata pengundi perlu menilai tawaran yang dikemukakan dan menyokong usaha yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Sementara itu, ibu kepada Mohd Shahir, Salasiah Ismail, 72, turut menzahirkan harapan agar Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun kembali menerajui Kerajaan Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar.
“Makcik mendoakan Dato’ Seri Utama Aminuddin dan calon-calon Pakatan Harapan semuanya menang pada PRN-16 ini,” katanya.



