Nasir: Insentif rakyat dipertingkat jika Pakatan Harapan kekal memerintah

BAGAN PINANG: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Nasir Raman, menyifatkan sambutan masyarakat terhadap kempen yang dijalankan setakat ini sebagai positif, termasuk maklum balas daripada pemimpin masyarakat di peringkat kampung.
Beliau berkata, perkembangan itu memberi keyakinan kepada jentera Pakatan Harapan untuk terus bekerja keras sehingga hari pengundian.
“Setakat ini, sambutan masyarakat amat baik dan maklum balas yang kami terima daripada ketua-ketua kampung juga sangat positif. Alhamdulillah.
“Di kalangan pengundi tentera pula, saya melihat akan ada perubahan daripada sudut respons yang diterima.
“Insya-Allah, usaha yang kita lakukan akan membuahkan hasil walaupun ini merupakan kali pertama saya bertanding,” kata Nasir.
Nasir berkata, antara kekuatan manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan ialah peluasan pelbagai bantuan kepada golongan M40, berbanding sebelum ini yang lebih tertumpu kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Menurutnya, jika Pakatan Harapan diberi mandat sekali lagi mentadbir negeri, syarat kelayakan pendapatan isi rumah bagi beberapa bantuan akan dinaikkan sehingga RM8,000 sebulan.
“Sebelum ini, kebanyakan bantuan hanya dinikmati oleh golongan B40 dengan pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah.
“Namun menerusi manifesto kali ini, skop kelayakan diperluaskan sehingga pendapatan isi rumah RM8,000, sekali gus membolehkan lebih ramai daripada golongan M40 menikmati manfaat yang disediakan,” jelas Nasir.
Beliau berkata, manifesto itu turut menawarkan penambahbaikan terhadap pelbagai insentif sedia ada, termasuk bantuan kelahiran bayi, bantuan pendidikan dan sokongan kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
“Bantuan kepada bayi yang baru lahir akan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat semula mentadbir negeri.
“Selain itu, pelajar di peringkat sijil akan menerima RM500, diploma RM750, diploma STEM RM1,000, ijazah sarjana muda RM1,200 dan ijazah sarjana muda STEM RM1,500.
“Bantuan Sara Hidup Pelajar IPT sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun serta sumbangan komputer riba percuma juga akan disediakan.
“Semua ini memberi peluang yang lebih besar kepada anak muda serta ibu bapa, bukan sahaja daripada golongan B40 tetapi juga M40,” jelas Nasir lagi.
Nasir berkata, golongan warga emas juga tidak dipinggirkan apabila manifesto itu menawarkan bantuan yang lebih menyeluruh kepada kumpulan berkenaan.
“Bantuan kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas akan dinaikkan daripada RM200 kepada RM300, manakala mereka yang berumur antara 65 hingga 69 tahun turut akan menerima bantuan RM200 buat kali pertama.
“Saya percaya ini merupakan antara manfaat terbaik yang ditawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi menilai tawaran yang dibawa Pakatan Harapan dan terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada.
“Saya menyeru rakyat supaya menilai segala insentif dan manfaat yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan.
“Saya juga memohon sokongan pengundi untuk mengekalkan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar serta memastikan semua calon Pakatan Harapan diberi kemenangan pada hari pengundian,” ujar Nasir.



