Berita

Teo dakwa Ka Siong cuba putar belit fakta tanah menjelang PRN

BAHAU: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau yang juga penyandang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong, menolak dakwaan Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong bahawa Kerajaan Negeri Sembilan bergantung kepada penjualan tanah bagi mengekalkan kedudukan kewangannya.

Menurut beliau, kenyataan itu bukan sahaja tidak tepat, malah disifatkan sebagai cubaan memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan rakyat menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, dakwaan mengaitkan isu tanah Kem Gemas sebagai penjualan tanah kerajaan adalah tidak berasas dan menunjukkan sama ada Ka Siong tidak memahami proses pentadbiran tanah atau sengaja mengabaikan fakta sebenar.

“Tanah Kem Gemas langsung bukan dijual. Ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 85 Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan pertahanan serta latihan ketenteraan.

“Kelulusan mengenainya telah diberikan pada tahun 2014 ketika Negeri Sembilan masih ditadbir Barisan Nasional di bawah Menteri Besar ketika itu, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan.

“Pada masa yang sama, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Jadi, adakah beliau hari ini mahu mempertikaikan kerajaan negeri sekarang atau sebenarnya menafikan keputusan yang dibuat oleh kerajaan BN sendiri?” katanya.

Teo menjelaskan bahawa selepas keputusan itu dibuat, kerajaan negeri telah mengemukakan tuntutan premium tanah kepada Kerajaan Persekutuan mengikut peruntukan undang-undang, namun bayaran berkenaan tertangguh selama lebih sedekad.

Beliau berkata, selepas pentadbiran negeri diterajui Pakatan Harapan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, bersama Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berjaya menyelesaikan proses yang sekian lama tertangguh sehingga negeri menerima premium tanah yang sememangnya menjadi haknya.

“Hasil yang diterima itu bukan berpunca daripada penjualan tanah, sebaliknya merupakan bayaran premium tanah yang memang menjadi hak Kerajaan Negeri.

“Isu yang gagal diselesaikan selama lebih 10 tahun akhirnya berjaya dimuktamadkan menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Kerajaan Negeri.

“Inilah contoh kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat serta memastikan hak negeri dipelihara.

“Apa yang gagal diselesaikan oleh BN, berjaya dilaksanakan oleh PH. Kami hanya menuntut semula hak rakyat Negeri Sembilan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Mengulas mengenai hasil tanah negeri, Teo berkata sumber utama diperoleh melalui kutipan premium hasil pertukaran syarat atau kategori penggunaan tanah milik persendirian, seperti pertukaran daripada tanah pertanian kepada tanah perindustrian.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan hasil negeri, malah berjaya menarik pelaburan tempatan dan asing, merancakkan pembangunan industri, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperluaskan asas kutipan cukai tanah pada masa hadapan.”

Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan Negeri Sembilan bergantung kepada penjualan tanah kerajaan adalah tidak benar kerana pertumbuhan hasil negeri didorong oleh pelaburan, pembangunan industri dan pengurusan kewangan yang berhemah.

“Negeri Sembilan tidak bergantung kepada penjualan tanah kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.

“Sebaliknya, hasil negeri dipertingkatkan melalui pelaburan, pembangunan sektor industri, peningkatan nilai tanah dan tadbir urus kewangan yang berhemah.

“Sebab itu Negeri Sembilan berjaya mencatatkan rekod pelaburan yang tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selain kedudukan kewangan negeri terus kekal kukuh,” katanya.

Menurut Teo, sebagai bekas menteri dan Presiden MCA, Ka Siong sewajarnya memahami prosedur pentadbiran tanah serta undang-undang berkaitan, bukannya melabel usaha mendapatkan semula premium tanah sebagai penjualan tanah demi kepentingan politik.

“Rakyat mahukan fakta, bukannya propaganda politik. Rakyat mahukan kejujuran, bukannya maklumat yang mengelirukan.

“Jika fakta asas berkaitan pentadbiran tanah pun sanggup diputarbelitkan, bagaimana rakyat boleh terus mempercayai integriti politik MCA?” katanya.

Beliau menggesa Ka Siong supaya menghentikan penyebaran maklumat yang disifatkannya tidak tepat serta tampil memberikan penjelasan kepada rakyat Negeri Sembilan mengenai kenyataan tersebut.

Teo berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan terus mengutamakan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus berasaskan undang-undang, selain memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menarik lebih banyak pelaburan, meningkatkan nilai tanah, membangunkan industri berteknologi tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti demi memastikan hasil negeri terus mampan.

Menurut beliau, rakyat seharusnya menilai siapa yang benar-benar berjaya menyelesaikan isu yang tertangguh sekian lama, bukannya memberi perhatian kepada polemik politik yang dimainkan ketika musim pilihan raya.

“Hakikat tetap hakikat dan undang-undang tetap undang-undang.

“Usaha mendapatkan semula premium tanah mengikut peruntukan undang-undang bukanlah bermaksud menjual tanah.

“Berjaya memperoleh semula wang yang menjadi hak rakyat Negeri Sembilan juga tidak bermakna kerajaan negeri bergantung kepada penjualan tanah untuk menampung kewangannya.

“Saya berharap Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong menghentikan kenyataan yang mengelirukan dan membiarkan rakyat membuat penilaian berdasarkan fakta, bukan slogan politik,” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button