“Tukar Kerajaan Negeri Sembilan bererti kembali ke zaman gerhana” – 29 NGO Melayu

SEREMBAN: Sebanyak 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Negeri Sembilan hari ini mengumumkan sokongan terbuka kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan esok.
Pengerusi Persatuan Khudus Negeri Sembilan, Ariffin Omar yang mewakili 29 NGO berkenaan berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai prestasi pentadbiran kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Pendirian kami ini berasaskan kepada beberapa perkara. Pertamanya, hasil pengamatan kami terhadap Kerajaan Pakatan Harapan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri, setakat ini berjaya merealisasikan Maqasid Syariah.
“Hakikatnya, perkara itu dapat dilihat menerusi peningkatan hasil negeri yang signifikan serta pelaksanaan pelbagai khidmat kebajikan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut beliau, kesinambungan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada juga penting bagi memastikan agenda reformasi dapat diteruskan seiring dengan usaha yang sedang digerakkan Kerajaan Persekutuan.
“Menukar Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bererti memadamkan obor islah serta menghentikan roda reformasi yang sedang dipacu laju oleh Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Menukar Kerajaan Negeri juga bererti merelakan Negeri Sembilan kembali ke zaman gerhana, iaitu ketika kekayaan negeri hanya dimonopoli oleh segelintir elit pemerintah dan kroni,” katanya.
Dalam pada itu, Ariffin turut merayu pengundi supaya keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan pada hari pengundian esok 1 Ogos.
“Kami percaya amal soleh rakyat Negeri Sembilan dalam konteks pilihan raya ialah memilih pemerintah yang besar khidmatnya kepada rakyat serta kukuh integritinya,” katanya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Sekretariat NGO Melayu Negeri Sembilan, Che Rus Husin dan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan, Fakrurazi Abdullah.




