Sokongan pengundi Sri Tanjung positif, manifesto M40 tambah keyakinan rakyat

SERI TANJUNG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sri Tanjung, Dato’ Dr G. Rajasekaran menyifatkan sambutan dan sokongan pengundi di kawasan itu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri semakin memberangsangkan.
Menurut beliau, rakyat memberikan maklum balas yang amat positif kerana mereka pernah menikmati pelbagai inisiatif yang dilaksanakan ketika Pakatan Harapan mentadbir Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Katanya, manifesto Pakatan Harapan kali ini turut meningkatkan keyakinan rakyat apabila bantuan diperluaskan kepada golongan M40 yang sebelum ini tidak termasuk dalam kategori penerima utama.
“Mereka sangat gembira dengan manifesto baharu kita yang turut memberi fokus kepada golongan M40 dengan pendapatan isi rumah sehingga RM8,000.
“Saya harap ia memberi kelegaan yang menyeluruh kepada semua rakyat termasuk keluarga B40 dan M40. Lagi ramai yang akan mendapat manfaat,” jelas Rajasekaran.
Rajasekaran berkata, sebelum ini terdapat pemohon yang tidak layak menerima bantuan hanya kerana sedikit perbezaan pendapatan, namun beliau tetap berusaha membantu mereka atas dasar budi bicara.
Sehubungan itu, beliau memohon pengundi Sri Tanjung terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan bagi memastikan segala insentif yang dijanjikan dapat direalisasikan.
“Kekalkan Pakatan Harapan, kekalkan Tok Min sebagai Menteri Besar kita.
“Kalau Pakatan Harapan kembali mentadbir Negeri Sembilan, semua insentif yang ditawarkan dapat dilaksanakan, lebih-lebih lagi kita dapat memperluaskan bantuan kepada keluarga M40 yang sebelum ini tiada dalam kategori penerima,” ujar beliau.



