Berita

Zarinna tawar agenda perkasa wanita, naik taraf kemudahan awam di Lenggeng

SEREMBAN: Pemerkasaan wanita, penambahbaikan kemudahan awam serta pembangunan ekonomi komuniti menjadi antara fokus utama dalam tujuh tawaran yang diumumkan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Lenggeng, Zarinna Abu Zarin.

Beliau berkata, program Wanita Lenggeng Berdaya akan diperkenalkan bagi membantu golongan wanita meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan serta memperluaskan peluang keusahawanan.

Menurutnya, perhatian khusus turut diberikan kepada ibu tunggal dan wanita daripada keluarga B40.

“Wanita bukan sekadar pengurus keluarga, tetapi juga penggerak ekonomi masyarakat.

“Apabila wanita diberdayakan, keluarga akan menjadi lebih kukuh,” jelas Zarinna.

Pada masa sama, Zarinna berkata masalah asas seperti jalan rosak, longkang, lampu jalan dan kemudahan awam akan ditangani menerusi pendekatan Terjah dan Tindak: Audit Infra Rakyat.

Katanya, pendekatan itu membolehkan aduan rakyat dikenal pasti dengan lebih cepat sebelum tindakan diambil bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

“Saya juga melihat Lenggeng mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi berasaskan produk kampung, makanan tradisi dan agro-pelancongan.

“Tawaran ini bukan sekadar senarai program. Ia adalah gambaran bagaimana kita mahu melihat Lenggeng dalam lima tahun akan datang – sebuah kawasan yang menjaga rakyatnya, memperkasa wanitanya, memberi peluang kepada anak mudanya serta bersih, selamat dan mempunyai masa depan,” jelas Zarinna lagi.

Zarinna berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Tujuh Tawaran Hajah Zarinna Abu Zarin Untuk Lenggeng.

Show More

Related Articles

Back to top button