Program Jom Masak Bubur Lambuk, simbol perpaduan komuniti

TAMPIN: Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negeri Sembilan telah mengadakan Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Sembilan di Gemencheh.
Ahli Parlimen Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa yang menyempurnakan program ini berkata, program Jom Masak Bubur Lambuk ini merupakan sebuah inisiatif yang penuh dengan semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat.
“Program ini bukan sekadar aktiviti memasak, tetapi juga simbol perpaduan antara komuniti, di mana pelbagai lapisan masyarakat berganding bahu menyediakannya untuk dikongsi bersama.
“Semangat gotong-royong seperti inilah yang kita mahu suburkan dalam masyarakat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, khususnya Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan sukarelawan yang turun padang.
“Semoga usaha murni ini terus memperkukuh keharmonian dalam negeri kita,” kata beliau.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan Pengarah JPNIN Negeri Sembilan, Syahilawani Noordin.