Berita

Program LaunchX Perkasa Ekosistem Keusahawanan Mahasiswa

SEREMBAN: Agenda pemerkasaan keusahawanan mahasiswa terus menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berfungsi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negara berteraskan inovasi dan teknologi.

Menerusi satu hantaran di media sosial KPT, komitmen tersebut dizahirkan melalui pelaksanaan Program LaunchX 2025/2026 yang melabuhkan tirainya semalam di Sunway University, disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.

“Program ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Sunway University sebagai platform pemecut pemula niaga mahasiswa yang memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan berimpak tinggi.

“Sepanjang pelaksanaannya, sebanyak 122 pemula niaga melibatkan 282 mahasiswa daripada 33 IPT berjaya dibangunkan, sekali gus mencerminkan potensi besar bakat muda dalam menerajui landskap keusahawanan negara.

“Inisiatif LaunchX turut menyokong aspirasi nasional untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pemula niaga global menjelang 2030, selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 serta Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2026–2030 yang menekankan pembentukan pelajar berdaya tahan, adaptif dan berfikiran keusahawanan,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh enam bulan pelaksanaan, peserta menjalani latihan intensif merangkumi pembangunan perniagaan, bimbingan industri serta sesi pembentangan idea menerusi Demo Day.

“Sebanyak 15 pemula niaga terbaik berjaya mara ke peringkat akhir dengan menampilkan solusi inovatif dalam pelbagai sektor termasuk kecerdasan buatan, agritech, fintech, edutech dan teknologi hijau.

“KPT menegaskan program seumpama ini memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara akademik dan industri, selain mempercepatkan proses komersialisasi idea mahasiswa.

“Pada masa sama, sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut dilihat berpotensi mendapat manfaat daripada penghasilan lebih banyak syarikat pemula baharu.

“Melalui pendekatan holistik, LaunchX bukan sahaja melahirkan graduan yang kompetitif, malah berupaya mencipta peluang pekerjaan menerusi penubuhan syarikat pemula yang mampan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, KPT optimis lebih banyak syarikat terbitan dan pemula niaga bertaraf global dapat dilahirkan daripada ekosistem pendidikan tinggi negara pada masa hadapan.

Ini menunjukkan komitmen berterusan KPT dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan mahasiswa secara menyeluruh, sekali gus memastikan graduan bukan sahaja bersedia memasuki pasaran kerja, malah berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan.

Show More

Related Articles

Back to top button