
AMPANGAN: Kepentingan menjaga kebersihan persekitaran terus disemarakkan menerusi Program Pembersihan Persekitaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, ia merupakan inisiatif terawal dilaksanakan di Negeri Sembilan, sekali gus membuktikan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memupuk budaya kebersihan dan kesejahteraan komuniti bandar.
“Pemilihan Ampangan sebagai lokasi permulaan mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat setempat serta kesungguhan memperkukuh semangat perpaduan dan gotong-royong dalam kalangan penduduk.
“Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan persekitaran, malah mengukuhkan hubungan erat antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Tambah beliau, usaha murni seumpama itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif lestari pada masa hadapan demi merealisasikan persekitaran yang bersih, mampan dan sejahtera, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) serta Datuk Bandar Seremban, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin atas komitmen dan iltizam menganjurkan program yang disifatkan amat bermakna kepada komuniti setempat.
Program tersebut turut disertai warga setempat, sukarelawan serta kakitangan MBS yang bersama-sama berganding bahu membersihkan kawasan pasar dan persekitaran sekitar Bandar Baru Ampangan, sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan dalam menjaga kebersihan kawasan awam.



