Projek MVV capai lebih 60 peratus, kerajaan jangka siap suku pertama tahun hadapan
Nur Syafiqah Mohd Jemmi

NILAI: Projek Malaysia Vision Valley (MVV) yang melibatkan pembinaan jalan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek kini mencatat kemajuan melebihi 60 peratus.
Projek itu telah melibatkan kos berjumlah RM557.5 juta dan dijangka siap pada suku pertama 2027.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun projek itu sebelum ini berdepan beberapa cabaran, perkembangan semasa menunjukkan peningkatan positif hasil usaha pelbagai pihak.
“Kita ambil maklum cabaran terdahulu dan usaha telah dilakukan untuk mengatasinya.
“Sekarang progres menunjukkan perkembangan yang baik dan kita harap projek ini dapat disiapkan dalam tahun ini supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak MVV bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun di sini, hari ini.
Menurutnya, antara cabaran yang masih dihadapi termasuk isu utiliti serta kelulusan jajaran yang melibatkan lintasan Lebuhraya Utara-Selatan, namun semua agensi terlibat diminta mempercepatkan penyelesaian.
“Kementerian Ekonomi sebelum ini telah mengeluarkan No Objection Certificate (NOC) bagi membolehkan kontraktor penyelamat dilantik untuk memastikan projek tidak terus tertangguh.
“Hal ini kerana projek ini bukan sekadar pembinaan infrastruktur, sebaliknya mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
“Bila akses lebih lancar, ekonomi juga bergerak lebih pantas. Projek ini bukan sekadar bina jalan, tetapi buka peluang kepada rakyat, pekerja, peniaga dan pelabur,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan semua pihak perlu memperkukuh penyelarasan dan mempercepat tindakan susulan supaya pelaksanaan projek kekal mengikut jadual serta tidak meningkatkan kos.
“Dalam keadaan semasa yang mencabar dan negara semakin merasai krisis tenaga global, termasuk kesan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, kita tidak boleh benarkan kelewatan terus berlaku.
“Sebarang isu berbangkit mesti diselesaikan secara cepat, bersepadu dan pragmatik supaya projek siap mengikut masa dan manfaatnya sampai kepada rakyat tanpa tertangguh,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mengatakan keadaan ekonomi global termasuk konflik di Timur Tengah secara langsung memberi kesan kepada kos pembangunan, khususnya melibatkan tenaga dan bahan berkaitan bahan api fosil.
Namun, katanya, kerajaan negeri dan Persekutuan tetap komited memastikan pembangunan ekonomi Negeri Sembilan terus berjalan.
“Kita telah mendapat maklumat tentang keadaan ekonomi semasa termasuk peperangan di Timur Tengah dan kesannya.
“Tetapi. pembangunan tetap diteruskan bagi memastikan momentum ekonomi negeri tidak terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata jangkaan kesan konflik global mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun, justeru perancangan pembangunan perlu mengambil kira faktor jangka sederhana.
Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri menghargai lawatan Kementerian Ekonomi ke Wisma Negeri dalam meninjau sendiri perkembangan projek dan hala tuju pembangunan negeri.
Pihaknya turut mengambil maklum keadaan ekonomi semasa supaya pembangunan ekonomi negeri akan terus berjalan dengan lancar.
Perjumpaan di antara Aminuddin dan Akmal Nasrullah pada pagi tadi turut membincangkan segala rancangan, cadangan dan perjalanan pembangunan yang dilaksanakan Negeri Sembilan dan pencapaian Negeri Sembilan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.



