BeritaMenarik

Permohonan status kediaman kepada Hakmilik Kekal di Daerah Tampin meningkat

TAMPIN: Permohonan penukaran status kediaman daripada Hakmilik Pajakan (LeaseHold) kepada Hakmilik Kekal (Freehold) di Daerah Tampin telah meningkat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Permohonan Penukaran Hakmilik Pajakan (LeaseHold) kepada Hakmilik Kekal (Freehold) merupakan manifesto (Tawaran Pakatan Harapan Negeri Sembilan) yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada 12 dan 19 Jun 2019.

Pada mulanya, pelaksanaan permohonan ini dilaksanakan secara pilot project di Kawasan DUN Sikamat, Ampangan dan Paroi dalam Daerah Seremban.

Pada tahun 2021, Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan sebanyak lapan kawasan lagi di Daerah Tampin, iaitu dua kawasan di DUN Gemencheh (Rumah Rakyat Gemencheh dan Taman Bunga Raya). Tiga kawasan di DUN Repah (Taman Tampin Jaya, Tampin Jaya, Taman Repah Baru). Tiga kawasan di DUN Gemas (Taman Desa Bakti, Taman Gemas Indah, Rumah Rakyat Sri Gemas).

“Kemudiannya bermula Ogos 2022, pelaksanaan permohonan ini telah diperluaskan kepada semua taman dan rumah rakyat di Negeri Sembilan dan menjadikan jumlah hakmilik yang terlibat dan berpeluang untuk memohon bagi Daerah Tampin meningkat daripada 376 hakmilik kepada 1,667 hakmilik yang melibatkan sebanyak 10 buah taman dan sembilan buah rumah rakyat.

“Saya berharap rakyat dapat mengambil peluang ini (memohon pertukaran status), dan pada masa yang sama, menikmati manfaat yang bakal diperolehi apabila hakmilik mereka bertukar kepada pegangan selama-lamanya,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyampaian Geran Bagi Permohonan Penukaran Hakmilik Pajakan (LeaseHold) kepada Hakmilik Kekal (Freehold) dan Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Bencana Banjir 2023 bagi Daerah Tampin di Pejabat Daerah Tampin pada Khamis.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Repah, YB S.Veerapan.

Pertukaran hakmilik pajakan (leasehold) kepada hakmilik kekal (freehold) merupakan salah satu daripada tawaran dalam manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berjaya dilaksanakan.

Show More

Related Articles

Back to top button