Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025 di Negeri Sembilan

BAHAU: Negeri Sembilan turut menyahut semangat Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025 yang bertemakan ‘Pembaharuan Semula Bandar : Agenda Perancangan Untuk Rakyat’ selari dengan sambutan peringkat kebangsaan di Putrajaya pada 28 Oktober 2025 yang telah dirasmikan oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri.
Sambutan peringkat negeri ini berlangsung di Lorong Dato’ Maharaja (Stesen Bas Bahau), Jempol, dan telah dirasmikan oleh wakil Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Arul Kumar A/L Jambunathan, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan bersama kehadiran Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.
Majlis ini menekankan peranan penting profesion perancang dan pengurus bandar dalam mewujudkan persekitaran bandar yang sejahtera, selamat, beridentiti serta inklusif.
Pelaksanaan inisiatif pembaharuan bandar termasuk ‘creative backlane activation’ yang memberi nafas baharu kepada lorong-lorong belakang dengan menjadikannya ruang sosial yang selamat, mesra pejalan kaki dan bermanfaat kepada komuniti.
Kejayaan usaha ini bergantung kepada kerjasama padu antara pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat, pihak swasta dan rakan strategik bagi memastikan pembangunan bandar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh identiti tempatan.



