Warga Felda Palong 6 terus perkukuh semangat sejati madani dalam sektor perladangan

PALONG: Semangat kebersamaan dan kecekalan peneroka menjadi teras kepada kejayaan Program Tanam Semula dan Pelancaran Sejati Madani yang berlangsung di Lot Peneroka milik En. Omar bin Ibrahim, Felda Palong 6 pagi tadi.
Program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Dato’ Mustapha Nagoor itu mencerminkan keazaman warga Felda untuk terus memperkukuh sektor perladangan melalui pendekatan lestari serta usaha kolektif masyarakat setempat.
Mustapha menzahirkan penghargaan kepada warga Felda Palong 6 yang sentiasa menunjukkan daya saing tinggi dan berani menyesuaikan diri dengan perubahan dalam memastikan hasil tanam semula memberi manfaat jangka panjang kepada generasi baharu.
“Saya turut menekankan bahawa pelancaran Program Sejati Madani ini bukan sekadar memperkukuh ekonomi peneroka, malah dapat membuka peluang pendapatan baharu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) melalui penyediaan perkhidmatan trekta yang memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
“Warga Felda bukan sekadar peneroka tanah, tetapi peneroka masa depan yang terus berbakti demi kemakmuran Negeri Sembilan dan negara,” katanya.



