Melalui Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Oktober yang lalu, dalam mensejahterakan rakyat ke tahap bahagia, pelbagai jenis bantuan kebajikan disediakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), antaranya bantuan tunai khusus untuk keluarga miskin, OKU dan warga emas dengan kadar bulanan seperti berikut:
Merujuk kepada pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Desmond Siau Meow Kong, perincian bantuan tersebut adalah seperti berikut:
a) Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 daripada RM500 sebulan;
b) Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan kepada RM250 daripada RM200 bagi seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah; serta kepada RM200 daripada RM150 bagi seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun dengan maksimum RM1,000 sekeluarga.
c) Kenaikan syarat kelayakan pendapatan penerima bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) kepada RM 1,700 daripada RM1,500.
d) Peruntukan Bantuan OKU pada 2024 sebanyak RM1.2 bilion dinaikkan kepada RM1.3 bilion pada tahun 2025.
e) Kenaikan syarat dan Kelayakan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) daripada RM 3,000 kepada RM5,000.
Untuk memastikan program bantuan sosial yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat, langkah-langkah yang diambil untuk mencapai matlamat tersebut termasuklah:
1. Pengumpulan Data Golongan Sasaran
Pengumpulan data yang tepat melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah penting untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang berhak.
JKM sentiasa mengadakan kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan kampung (JPKK) dan pemimpin setempat dalam rujukan kes-kes yang memerlukan bantuan segera.
2. Peningkatan Infrastruktur Penyampaian
Untuk memastikan bantuan sampai ke tangan penerima dengan cepat dan tepat, JKM juga mengadakan pelbagai langkah alternatif antaranya ialah:
i. Penugasan pegawai JKM di Pusat Khidmat DUN
ii. Program ‘outreach’ iaitu pegawai JKM hadir ke lokasi-lokasi terpilih yang memudahkan orang ramai hadir dan tidak perlu hadir ke pejabat.
iii. Mewujudkan team on-call di setiap Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang akan menangani kes-kes rujukan dengan segera.
iv. Mewujudkan secara berkala pasukan task force bagi mengendalikan kes-kes permohonan baru dan rujukan dengan berkesan.
3. Pemantauan dan Penilaian Berkala
Program bantuan sosial juga dipantau secara berkala mengikut Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan/Negeri yang sedang berkuatkuasa.
Ini adalah untuk memastikan ia berfungsi dengan baik dan tiada penyelewengan atau ketirisan.
4. Kemudahan Akses dan Penglibatan Komuniti
Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kewujudan dan kelayakan untuk menerima bantuan sosial melalui saluran komunikasi yang jelas, termasuk media sosial, aplikasi mudah alih, dan kerjasama dengan masyarakat setempat.
Noorzunita Begum Mohd Ibrahim
Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan