SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memberi perhatian dan mempunyai perancangan berkaitan dengan fasiliti sukan seperti padang.
Exco Pendidikan, Dato’ Ismail Lasim (Senaling-BN) berkata, sekolah yang tidak mempunyai padang boleh mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPNS bagi perolehan tanah sekiranya tiada kawasan lapang di dalam kawasan sekolah yang boleh dijadikan padang.
“Projek naik taraf padang dilaksanakan secara berperingkat dan permohonan dilakukan melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun dan peruntukan dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Projek naik taraf padang yang sedang dilaksanakan pula seperti di Sekolah Kebangsaan Sungai Jai (RM500,000), Sekolah Kebangsaan Kampung Daching (RM500,000) dan Sekolah Kebangsaan Jijan (RM500,000).
“Bagi pembelian peralatan sukan pula, setiap sekolah telah diperuntukan dengan Geran Perkapita Mata Pelajaran dan sekolah boleh membeli menggunakan wang tersebut,” jelas Ismail.
Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini (BN) dalam sesi soal jawab Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Yang Ke-15.