Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS26) akan dianjurkan pada tahun 2026.
Penganjuran TMNS26 ini tidak hanya bertumpu kepada produk-produk pelancongan malahan ia juga boleh dipromosikan melalui kesenian dan kebudayaan Negeri Sembilan.
Keunikan Adat Perpatih yang juga merupakan salah satu daripada 9 Identiti Negeri Sembilan perlulah giat dipromosikan kerana ianya merupakan salah satu adat yang masih digunapakai di Malaysia.
Di dalam usaha mempromosi dan menyemarakkan seni budaya di negeri ini, sudah tentunya perlu berada di landasan 9 Identiti Negeri Sembilan yang telah diisytiharkan.
Di antaranya ialah alat muzik Cak Lempong, Dikir Rebana, Persembahan Tarian Piring Lambung, Randai, Teromba dan Tumbuk Kalang.
Kebanyakan kesenian ini dapat dilihat pada program-program dan majlis-majlis keraian dan juga program teater.
Selain daripada itu, Baju Kebaya Setengah Tiang, Telepok dan Bungo Lado juga telah dipromosikan melalui pemakaian di majlis-majlis tertentu.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan turut berperanan membantu memartabatkan seni dan budaya berlandaskan 9 Identiti Negeri Sembilan.
Sekolah Seni juga dilihat berpotensi untuk melatih anak-anak mendalami muzik dan tarian Negeri Sembilan seterusnya dapat diwarisi supaya ianya tidak ditelan dek zaman.
Kesenian tidak hanya dizahirkan melalui persembahan kebudayaan semata-mata malahan turut melalui penghasilan kraftangan seperti rotan, buluh, ukiran kayu dan logam serta batik.
Melalui seni kraftangan ini, produk-produk kraftangan seperti baju batik, kerongsang dan tas tangan dan pelbagai produk cenderahati dapat dihasilkan.
Seperti yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng (ADUN), Dato’ Mohd Asna Amin, kraftangan tersebut boleh didapati di ruang pameran aras bawah Bangunan White House selain program promosi jualan kraftangan di gedung membeli belah terpilih di Negeri Sembilan.
Beberapa usaha sedang digiatkan bagi menghadapi Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS26) antaranya adalah:
a) Memperkasakan produk-produk pelancongan di setiap daerah di Negeri Sembilan dengan memastikan terdapatnya kemudahan asas di produk-produk tersebut bagi keselesaan pelancong.
Sehubungan dengan itu, berdasarkan Belanjawan Tahun 2025 yang telah dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, sejumlah RM7.35 juta telah diperuntukkan bagi Pembangunan Produk Pelancongan yang dilihat sangat bertepatan dengan persediaan memperkasakan produk-produk pelancongan menjelang penganjuran TMNS26.
b) Penghasilan pakej pelancongan yang berpotensi bagi menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara termasuk negara berpendapatan tinggi melalui PESONA di setiap daerah; dan
c) Penganjuran acara-acara pelancongan yang berimpak tinggi di mana perancangan telah dimulakan sejak tahun 2024 dan akan dilaksanakan bermula tahun 2025.
Antara acara yang dikenalpasti mampu menarik kehadiran pengunjung dan pelancong adalah NS Fest yang telah mencatatkan seramai 1.147 juta orang pengunjung bermula 27 Julai hingga 3 Ogos 2024 seterusnya mencatatkan jumlah jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM4.316 juta.
Kita amat berbesar hati di atas kerjasama dan keterlibatan EXCO dan ADUN dalam menjayakan program pelancongan dan seterusnya dapat bersama-sama menjadi duta dan ejen mempromosikan pelancongan Negeri Sembilan dalam persediaan menganjurkan TMNS26.
Dengan memperluaskan sektor pelancongan negeri ini, masa depan Negeri Sembilan akan lebih utuh dan mampan.
Kita tidak lagi bergantung hanya kepada sektor pertanian dan perkhidmatan sebagai sumber penjanaan hasil negeri.
Sektor pelancongan juga akan menjadi ‘gold basket’ untuk Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Ini bukan sahaja kerana kita mendapat perhatian dari pihak Kerajaan Persekutuan, tetapi komitmen semua YB EXCO yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat) sentiasa memikirkan sumber baharu untuk menjana pendapatan Negeri.
Ini sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan telah berjaya menunjukkan konsensus antara ahli politik walaupun dari parti yang berbeza ideologi boleh duduk semeja dengan mendahulukan keutamaan Negeri dan rakyat.
Negeri Sembilan telah keluar dari kepompong politik sempit.
Imej keharmonian seperti ini akan memberikan keberkatan kepada kerajaan ini yang dipimpin oleh YAB Sikamat.
Nicole Tan Lee Koon
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15.