SEREMBAN JAYA: Jualan Ladang Nismilan Prihatin dapat sambutan
SEREMBAN JAYA: Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang diadakan di Taman Sri Mawar mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P.Gunasekaren berkata, penduduk sudah mula berkumpul seawal 8.30 pagi dan semua barangan telah habis dijual kira- kira jam 11.00 pagi.
“Antara barangan asas yang menjadi pilihan dan keutamaan yang dijual ialah beras (RM13.00/sekilo), ikan kembung (RM10.00/sekilo), ayam (RM13.00/sekilo), telur (RM10.00/satu papan), sayur-sayuran (RM2.00 hingga RM5.00) dan minyak masak paket (RM 2.00/sepaket).
“Program ini dijalankan setiap bulan dan disetiap 36 DUN bagi membolehkan penduduk setempat dan sekitar berpeluang membeli barangan keperluan asas yang dijual 20 hingga 30 peratus lebih murah dari harga pasaran.
“Jualan ini memberi manfaat kepada masyarakat untuk membeli barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah dan sedikit sebanyak meringankan beban kos sara hidup masa kini,” kata Gunasekaren.
Turut sama menjayakan program ini ialah Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Jamilah Said Ali; Pengerusi KRT Taman Sri Mawar, Effi serta Pembantu Ahli Majlis Bandaraya Seremban, P.Minnal dan Kamala.