Silat bukan sekadar seni pertahankan diri: JALALUDDIN

SEREMBAN: Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi warisan bangsa yang membentuk jati diri, disiplin dan semangat juang dalam kalangan generasi muda,” kata Exco (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias.
Jalaluddin berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Terbuka PESAKA Negeri Sembilan Vol.1/2025 yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Persekutuan Silat Kebangsaan (Malaysia) Negeri Sembilan (PESAKA NS) di atas penganjuran kejohanan ini yang berjaya menghimpunkan penyertaan dari pelbagai peringkat umur, dari sewal usia lima tahun hingga ke peringkat IPT dan dewasa.
“Lebih membanggakan, kejohanan ini turut menjadi medan pemilihan atlet bagi mewakili Negeri Sembilan ke temasya SUKMA 2026 di Selangor nanti.
“Usaha sebegini wajar diteruskan dan disokong agar budaya bersilat terus mekar di hati masyarakat dan dikenali di persada dunia.
“Saya menyeru agar lebih banyak pihak, sama ada agensi kerajaan, swasta mahupun komuniti tempatan tampil menyokong pembangunan sukan silat dan atlet tempatan agar kita dapat melahirkan lebih ramai jaguh silat yang berdaya saing dan berwibawa.
“Tahniah kepada semua peserta, jurulatih, pengadil, penganjur dan ibu bapa yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi. Semoga silat terus gemilang,” kata Jalaluddin yang juga Exco (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan.