SEREMBAN: Sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri Sembilan telah memperkenalkan Skim Pinjaman Kenderaan Tanpa Faedah dan Skim Pinjaman Komputer Tanpa Faedah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sehingga bulan November 2024 seramai 758 orang penjawat awam Negeri Sembilan telah diberikan kelulusan pinjaman kenderaan dan komputer tanpa faedah dengan jumlah kelulusan sebanyak RM16.57 juta.
“Penjawat awam ibarat bidalan “rimbun daun tempat berteduh, rimbun pokok tempat bernaung, besar banir tempat berlindung, besar batang tempat bersandar, lebar daun buat membungkus, tingginya pohon jadi pedoman”.
“Atas rasa kasih sayang dan prihatin kepada pengorbanan penjawat awam, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi Skim Pinjaman Kenderaan Tanpa Faedah dan RM50,000 bagi Pinjaman Komputer Tanpa Faedah pada tahun 2025,” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian semasa Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2025 di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban baru-baru ini.