Berita

Sumbangan hampir setengah juta ringgit untuk masjid di Jelebu

JELEBU: Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyumbang RM494,000 kepada seluruh masjid dan surau di daerah Jelebu sempena sambutan Ramadan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sumbangan ini diberikan kepada pengurusan masjid dan surau bagi menjalankan aktiviti semasa bulan Ramadan.

“Sebagai tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan, saya turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 65 asnaf serta menyampaikan sumbangan khas daripada Selia Group kepada penerima terpilih.

“Tidak ketinggalan, Bantuan Khas Kewangan turut disalurkan kepada Pengerusi, Setiausaha, dan Bendahari JPKK DUN Chennah sebagai penghargaan atas perkhidmatan mereka kepada masyarakat,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di program Jelajah Ihya Ramadan di Masjid Kariah Chennah.

Turut hadir menyerikan majlis, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Loke turut menyerahkan Bantuan Khas Kewangan kepada Pengerusi, Setiausaha, dan Bendahari JPKK DUN Chennah menerusi peruntukan beliau sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah.

Jelajah kemudian diteruskan ke Masjid Sungai Rotan untuk menunaikan solat Isyak dan Terawih, diakhiri dengan jamuan Moreh bersama penduduk, meneruskan tradisi kebersamaan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan memberikan manfaat kepada semua,” ulah Aminuddin ringkas.

Show More

Related Articles

Back to top button