Berita

RM2 juta bukti Kerajaan Negeri prihatin terhadap perumahan rakyat

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan komited memastikan kesejahteraan penduduk perumahan strata terus diberi perhatian apabila sebanyak RM2 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2025 bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di rumah pangsa kos rendah serta sederhana di seluruh negeri.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J. Arul Kumar, berkata peruntukan tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menangani isu-isu penyelenggaraan yang sudah lama tertangguh, selain memastikan penduduk menikmati persekitaran hidup yang lebih selesa dan selamat.

“Peruntukan ini membantu JMB dan MC yang tidak mempunyai dana besar untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang melibatkan kos tinggi.

“Kita mahu pastikan rakyat di kawasan strata turut menikmati kemudahan yang terurus dan berkualiti..

“Dana berkenaan telah digunakan untuk sembilan projek penyelenggaraan di sembilan kawasan perumahan melibatkan kerja menaik taraf infrastruktur, penurapan jalan, pembaikan bumbung, penggantian pagar dan penyelenggaraan harta bersama.

“Antara projek yang dilaksanakan termasuk kerja penurapan jalan di Apartment Cempaka 2, Seremban 2; pembaikan bumbung di Rumah Pangsa Gentam, Kuala Pilah; kerja penyelenggaraan di Flat Taman Astana Harmoni, Lukut; serta pembaikan harta bersama di Flat Taman Orkid, Port Dickson,” kata Arul Kumar.

Terdahulu, YB Arul Kumar bersama ADUN Bukit Kepayang, YB Nicola Tan, dan pegawai Bahagian Perumahan SUK Negeri Sembilan turun meninjau kerja-kerja penurapan jalan di Apartment Kos Rendah Cempaka 2, Seremban 2.

“Kita tidak mahu ada kawasan perumahan strata yang ketinggalan dari segi penyelenggaraan.

“Inisiatif RM2 juta ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan peruntukan belanjawan benar-benar sampai kepada rakyat.

“Dengan pelaksanaan projek-projek ini, Kerajaan Negeri yakin kesejahteraan penduduk di kawasan perumahan strata akan terus dipertingkatkan selaras dengan agenda pembangunan inklusif Negeri Sembilan,” tambah beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button