SPAN Tidak Tolak Berlaku Pelanggaran Prosedur Keselamatan Dalam Kes Pelajar Maut Ketika Selenggara Kolam
SEREMBAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak menolak kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung dalam insiden yang mengorbankan seorang pelajar latihan industri Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana 1, Kuala Selangor, minggu lalu.
SPAN dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil semakan awal mendapati terdapat kemungkinan pekerja memasuki kawasan berisiko tanpa kebenaran dan sebelum pengesahan keselamatan diberikan.
Menurut suruhanjaya itu, perkara berkenaan antara aspek yang sedang diteliti dalam siasatan yang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Maklumat awal menunjukkan terdapat kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung, termasuk kemasukan pekerja tanpa kebenaran dan sebelum pengesahan keselamatan diberikan.
“Bagaimanapun, sebarang penemuan berkaitan punca sebenar kejadian adalah tertakluk kepada hasil siasatan rasmi dan laporan akhir yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” menurut kenyataan itu.
SPAN berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi prosedur keselamatan atau melanggar peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
Tindakan itu boleh dikenakan sama ada terhadap operator perkhidmatan air, Air Selangor, mahupun kontraktor pemegang permit SPAN yang terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja berkenaan.
SPAN memaklumkan kontraktor yang menjalankan kerja pencucian dan penyelenggaraan kolam tersebut mempunyai permit yang sah dan berdaftar dengan suruhanjaya itu.
Agensi berkenaan menerima makluman mengenai kejadian itu pada 17 Jun sebelum menjalankan lawatan tapak ke lokasi kejadian pada keesokan harinya bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kerja-kerja pencucian kolam perkhidmatan secara berkala telah dilaksanakan oleh vendor yang dilantik pada 16 Jun.
Semasa kejadian, paras air di dalam kolam dilaporkan berada pada paras pinggang. Dua pekerja mengalami kesulitan berhampiran kawasan scour point berdiameter 200 milimeter, manakala seorang lagi dilaporkan tersangkut di kawasan tersebut.
Mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum dibawa ke Hospital UiTM, namun disahkan meninggal dunia. Punca kematian awal dilaporkan akibat lemas.
Menurut SPAN, JKKP telah mengeluarkan Notis Larangan selepas melawat lokasi kejadian pada 17 Jun dan kini menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum melaksanakan kerja-kerja berisiko tinggi.
SPAN menegaskan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan terus diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang pada masa hadapan, termasuk memperketatkan kawalan kerja di ruang terkurung, pengawasan kontraktor serta pengurusan risiko di tapak kerja.



