Tahniah, Tarian Tradisional SK Taman Seri Rembau Raih Kemenangan di Paris!

Rembau : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan dengan bangganya mengucapkan tahniah kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rembau di bawah naungan Kelab Tunas Budaya JKKN Negeri Sembilan atas kejayaan gemilang mereka di International Competition & Festival of Folklore Dance and Music “Etoiles De Paris” Ke-35 yang telah berlangsung dari 27 hingga 30 Oktober 2025 di Le Blanc Theatre, Paris.
Penyertaan sekolah ini turut menerima sokongan kewangan melalui Inisiatif TAC@N9 yang disalurkan oleh Pejabat Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan bagi memberi peluang kepada peserta tempatan menonjolkan bakat seni warisan di pentas antarabangsa.
Antara kejayaan membanggakan yang dibawa pulang oleh pasukan SK Taman Seri Rembau termasuklah kejayaan Ahmad Redza Bin Yussaini Zamir yang meraih tempat pertama bagi kategori Solo Folklore (Kid) diikuti oleh gandingan Muhammad Nur Ziqri Bin Helmy Rizal dan Nur Imani Khairunnisa Binti Ahmad Tajuddin yang turut memenangi tempat pertama dalam kategori Duo Folklore (Kids). Sementara itu, Mohd Ainuddin Bin Mohd Ramlan berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori Solo Folklore (Adult). Tidak ketinggalan, kumpulan persembahan mereka turut dinobatkan sebagai pemenang Grand Prix Group Folklore menambah lagi kegemilangan pencapaian pasukan ini di peringkat antarabangsa.
Penyertaan ini bukan sahaja membawa pulang kemenangan tetapi juga memberikan pengalaman berharga kepada para peserta untuk memperkenalkan keindahan budaya dan tarian rakyat Malaysia kepada masyarakat dunia.
JKKN Negeri Sembilan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas kejayaan luar biasa ini yang telah mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.



