Tiga syarikat baharu selain PUSPAKOM beri pilihan kepada pengguna kenderaan
![](https://negerikita.org/wp-content/uploads/2025/02/Tiga-syarikat-1.jpg)
PUTRAJAYA: Kerajaan telah memutuskan untuk melantik tiga syarikat baharu bagi melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) selain daripada PUSPAKOM.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setelah melalui proses penilaian yang teliti dan kriteria yang telah ditetapkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bersetuju untuk melantik tiga syarikat bagi melaksanakan perkhidmatan PPKM Fasa Pertama iaitu:
1. WAWASAN BINTANG SDN BHD.
2. PAKATAN PETROLEUM SDN BHD.
3. BERIMAN GOLD SDN BHD.
“Perluasan PPKM dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada orang ramai dalam mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, selaras dengan usaha dan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan mutu serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan ingin memberikan penjelasan terhadap persoalan yang dibangkitkan di media sosial berkenaan kelayakan dan pemilihan syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di PPKM.
“Pemilihan syarikat adalah berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], termasuk syarat kelayakan, prosedur, peraturan, dan standard yang telah dipaparkan di laman sesawang MOT dan JPJ sejak 23 April 2024.
“Hasil penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati tiga syarikat yang terpilih memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.
“MOT dan JPJ tidak menetapkan tempoh pendaftaran dengan SSM sebagai syarat kelayakan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi,” jelas Loke.