Agrobank buka cawangan di Bukit Pelanduk

CHUAH: Masyarakat di sekitar Bukit Pelanduk kini boleh menikmati kemudahan perbankan apabila Agrobank membuka cawangan mereka di kawasan itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, penubuhan rangkaian fizikal tersebut dapat membantu masyarakat luar bandar mendapat akses perbankan.
“Perkhidmatan perbankan ini juga dapat menyokong dan merancakkan lagi aktiviti kira-kira 20,000 penduduk di sini.
“Selain itu, ia juga dapat menjadi pusat bagi memperkasakan komuniti pertanian melalui perkhidmatan nasihat untuk produk pembiayaan runcit dan mikro.
“Terima kasih kepada pihak Agrobank atas usaha mereka membuka Agropoint di sini.
“Semoga Agropoint baharu ini dapat menjadi batu loncatan ke arah keterangkuman kewangan dan kemakmuran ekonomi yang lebih besar untuk rakyat di DUN Chuah dan Bukit Pelanduk ini,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Agropoint bukit Pelanduk Negeri Sembilan.