BeritaMenarikProgram

Tuanku Muhriz sukacita Enakmen Tanah Adat buka peluang pembangunan

SERI MENANTI: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan rasa sukacita apabila Enakmen Tanah Adat (Lingkungan dan Tanah Mengandung) 2022 membuka peluang kepada pemegang tanah adat untuk menjalankan usaha pembangunan.

“Adalah menjadi harapan Beta agar pentadbiran Kerajaan Beta memastikan segala sumber di negeri ini dioptimumkan penggunaannya di samping diperkukuhkan lagi koordinasi pelaksanaan merentas jabatan, agensi, kementerian dan komuniti.

“Pemantauan dan penilaian setiap inisiatif perlulah dilaksanakan secara menyeluruh dalam mendepani setiap cabaran demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

“Sebagai contoh, tanah-tanah terbiar termasuk tanah adat, perlulah menggunakan kaedah yang sesuai untuk dibangunkan agar memberi pulangan hasil yang dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan taraf hidup.

“Beta amat sukacita apabila mendapati Enakmen Tanah Adat (Lingkungan dan Tanah Mengandung) 2022 telah membuka peluang kepada para pemegang tanah adat untuk menjalankan usaha-usaha pembangunan di tanah mereka.

“Urusan-urusan seperti pengambilan balik tanah, pecah bahagian tanah serta serah balik dan beri milik semula untuk tujuan komersil sudah mula dilaksanakan menurut peraturan yang ditetapkan,” titah Baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-77 baginda di Istana Besar Seri Menanti.

Show More

Related Articles

Back to top button